Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus Radhiallahu anhu daripada
Rasulullah SAW sabdanya: ‘’Orang yang cerdik ialah orang yang selalu
memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal unutk bekalan sesudah mati,
sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) orang yang selalu mengikuti hawa
nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat
kebahagiaan dan pengampunan daripada-Nya tanpa beramal soleh)’’. Hadith Riwayat
Tirmizi
Terdapat banyak perbezaan dalam membuat penilaian siapakah
sebenarnya orang yang cerdik atau siapakah sebenarnya orang yang bahagia. Di
mana perbezaan nilai ini adalah timbul daripada perbezaan garis panduan
penilaian tersebut. Bagi seseorang yang berfaham kebendaan, orang yang cerdik pada penilaiannya ialah seseorang yang banyak
memiliki harta benda yang banyak dan wang ringgit, kemudian berpeluang untuk
menikmati segala kelazatan dunia dan bebas untuk bersuka-suka di kelab malam
atau menyaksikan pertandingan-pertandingan sukan dan sebagainya dengan tidak
mengira atau memperhitungkan bagaimanakah ia akan mengakhiri kehidupan di dunia
ini dan dia tidak berfikir apakah yang akan ditemuinya di dalam kubur nanti dan
tidak membuat rancangan bagaimanakah ia akan berhadapan dengan Allah SWT pada
hari qiamat nanti.
Tetapi bagi seseorang yang beriman ia mempunyai penilaian
yang tersendiri yang berdiri di atas dasar keimanannya, di mana setelah ia
beriman dengan Allah SWT dan Rasul-Nya dan juga setelah ia beriman dengan hari
pembalasan yang akan dihadapinya, lalu ia menganggap kehidupan di dunia ini
sebagai jambatan yang akan menyampaikannya ke negeri akhirat bukan tempat
bersuka-suka atau tempat bermain sesuka hati. Dari kerana itu ia banyak membuat
persiapan untuk masa akhiratnya, dari masa ke semasa selalu membuat penelitian
kepada bekal yang akan dibawanya. Dia menganggap dunia ini adalah laksana
bendang tempat ia bertanam dan akhiratnya tempat ia akan memetiknya buahnya.
Oleh kerana dia hidup di dalam dunia ini, maka terpaksa juga ia berusaha untuk
mencari sara hidupnya dan saraan
orang-orang yang ada dibawah tanggungannya, dia berusaha untuk mendapatkan
makanan dan minuman dan berusaha pula untuk memperolehi rumah seadanya yang
dijadikan tempat berehat, tetapi baginya makan dan minum adalah untuk hidup,
bukan hidup untuk makan dan minum. Mencari dunia untuk akhirat bukan mencari
dunia lupakan akhirat.


0 comments:
Catat Ulasan