Rabu, 16 Mac 2011

Hindari Doa Orang Yang Kena Zalim

Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW mengutus Muaz ke negeri Yaman (untuk menjadi Amir dan Qadhi), lalu beliau bersabda kepadanya: "Hindarilah doa orang yang terkena zalim, maka sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dan antara Allah SWT sebarang benda yang mendinding." (Hadith Riwayat Tirmizi)

Allah SWT dengan hikmahNya menciptakan manusia ini dalam bermacam-macam keadaan dan bermacam-macam tingkatan kehidupan dan berbagai-bagai pekerjaan. Oleh itu yang kuat hendaklah membantu yang lemah dan yang kaya hendaklah membantu yang miskin dan yang pandai hendaklah membantu yang jahil dan begitulah seterusnya. Maka janganlah yang mempunyai kekuatan atau kekuasaan menindas yang lemah dan jangan pula yang kaya menindas yang miskin dan yang pandai menipu yang jahil. Mereka hendaklah saling tolong menolong, kasih mengasihi dan bekerjasama untuk mencapai kehidupan yang bahagia dalam masyarakat. Menzalimi seseorang adalah menyalahgunakan kuasa atau kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Maka Allah SWT dengan keadilanNya pasti akan mengambil tindakan utnuk membela yang lemah lagi teraniaya, maka dari kerana itu doa orang yang kena zalim adalah mustajab dan terus sahaja diterima oleh Allah SWT. Namun bilakan tindakan keadilan itu akan diambil, dan bagaimanakah bentuk tindakan itu, maka terserah kepada Allah SWT. Kalau tidak dilaksanakan di dunia ini, maka akan diselesaikan di Akhirat nanti dan ini adalah salah satu daripada keadilan Allah S.W.T. Di dalam Musnad Imam Ahmad dan Abu Ya'ala dan Dhiya Al-Maqdisi ada riwayat tambahan daripada hadis yang telah disebutkan tadi yang bermaksud: "Jauhi doa orang yang kena zalim, walaupun ia adalah seorang yang kafir, kerana doanya tidak terdinding." (lihat Tuhfatul Ahwazi Juzu' 6 ms 155).

Cuba bayangkan kalau orang kafir yang terkena zalim, Allah SWT akan memakbulkan doanya, betapa lagi kalau hanya fasiq dan apatah lagi kalau ia seorang yang beriman dan rajin berbuat ibadat dan ketaatan kepada Allah SWT.


0 comments: