Isnin, 27 Julai 2009

Bagaimana Kita Akan Menghadapi Sakaratul Maut ??

Hari itu, Ammar ada menceritakan tentang detik - detik Rasulullah SAW menghadapi sakaratul maut. Sedih sekali Ammar mendengar kisah Rasulullah SAW menghadapi sakaratul maut itu, betapa sayangnya baginda pada umat-umatnya. Baginda sanggup berdoa kepada Allah SWT agar menimpakan semua kesakitan mati umatnya itu padanya. Pada hari ini Ammar akan menerangkan hadith tentang bagaimana kita akan menghadapi sakaratul maut ketika sampai saat - saatnya nanti.

Daripada Aisyah Radhiallahu anha berkata : "Aku melihat Rasulullah SAW sedang menghadapi sakaratul maut dan di sisinya ada sebuah mangkuk yang berisi air, kemudian beliau memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu lalu berdoa : "Ya Allah, berikanlah pertolongan kepadaku untuk menghadapi kepedihan mati dan sakaratul maut".

Cuba kita bayangkan, Rasulullah SAW yang merupakan sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan makhluk yang paling dicintai oleh-Nya serta penghulu segala Rasul, baginda juga terpaksa meminta pertolongan daripada Allah SWT dalam menghadapi sakaratul maut. Maka, apatah lagi kita yang hanya salah seorang diantara umatnya yang dhaif dan rasanya sudah terlalu banyak membuat dosa dan kesalahan, baik terhadap Allah SWT ataupun terhadap manusia.

Jikalau badan kita ada sedikit luka di badan, sudah tentu terlalu sakit kita menanggungnya, maka bagaimana pula pedihnya ketika nyawa hendak diceraikan daripada badan. Oleh itu, marilah bermuhasabah diri kita, cermin diri kita, siapakah kita? Sediakanlah bekalan yang banyak dan persiapan yang lengkap untuk menghadapi sakaratul maut yang amat pedih itu.

Hendaklah kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar kita dikurniakan "Husnul Khatimah", iaitu mati dalam keadaan beriman dan dapat menuturkan kalimah "Laa ilaaha illallah" di akhir hayat dan kita berlindung dengan Allah SWT daripada mati dalam keadaan "Suul Khatimah" iaitu mati dalam keadaan berlumuran dengan dosa dan kesalahan.

Iblis dan Syaitan juga akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Syaitan akan mengganggu manusia di waktu sakaratul maut dengan disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah SAW menerangkan :

Yang bermaksud: "Ya Allah, Aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan Syaitan
di waktu maut".


Rombongan 1

Akan datang Syaitan banyaknya dengan pelbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta berbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan-barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT dan inilah jenis mati fasik dan munafik.

Rombongan 2

Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang di dalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Ketika itu juga, putuslah nyawa dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT.

Rombongan 3

Akan datang Syaitan yang mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, jika orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka menyerupailah ia dengan rupa burung, jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka menyerupailah ia dengan kuda lumba (judi) itu dan jikalau dia minat dengan dengan ayam sabung, maka menyerupailah Syaitan itu dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan di waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT.

Rombongan 4

Akan datang Syaitan yang merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidup dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati fasik dan munafik.

Rombongan 5

Akan datang Syaitan yang merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah dan ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan, berkata dengan merayu-rayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga". Maka dia pun sudi menuruti pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datang Syaitan yang menyerupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia : "Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu". Lalu diminumnya ubat itu , maka hilanglah rasa sakit itu, kemudian rasa sakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata : "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati dalam keadaan yang baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"

Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut itu : "Aku tidak tahu".

Berkata ulamak Syaitan : "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami".

Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihat sanak-saudaranya semua berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang di dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu :

"Bagaimanakah Zat Allah?" Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulamak palsu : "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu".

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Syaitan : "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah".

Berkata orang yang dalam sakaratul maut : "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini?".

Dalam keraguan itu, Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Syaitan yang ketujuh ini adalah Syaitan yang terdiri dari 72 barisan kerana mereka menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad SAW akan terbahagi kepada 73 puak barisan. Satu puak sahaja yang benar iaitu ahlus sunnah wal jama'ah tetapi 72 lagi akan dimasukkan ke neraka yang dahsyat.

Ketahuilah para pembaca semua bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 7 golongan dan rombongan yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin "Laa Ilaaha Illallah" untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud : “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu : Laa ilaaha illallah”.

0 comments: