Ahad, 22 Januari 2012

Pahala Yang Berterusan

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: ‘’Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfa’atan daripadanya dan anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya’’. Hadith Riwayat Muslim

Apabila seseorang telah meninggal dunia terputuslah baginya peluang untuk menambah pahalanya. Sebanyak mana amalan yang telah dilakukannya semasa ia hidup dahulu, maka sebanyak itu sahaja pahala yang akan diterimanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya melainkan daripada tiga sumber yang telah diterangkan dalam hadith di atas.

Pertama sedekah jariah, iaitu segala wakaf yang pernah dijariahkan semasa hidupnya dahulu, seperti mewakafkan tanah untuk kebajikan, membina masjid, surau, sekolah, jalan, jambatan dan sebagainya, selama harta benda ini digunakan orang selama itulah ia mendapakan pahala yang berterusan yang mengalir masuk ke dalam suratan amal kebaikannya.

Kedua ilmu yang bermanfaat, iaitu segala ilmu yang dapat memberikan kemanfaatan kepada orang lain, dan dapat menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih lagi dikembangkan dan dipelajari turun-temurun, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebaikannya. Begitu pula halnya seseorang yang mengarang kitab yang bermanfaat, ia akan mendapatkan pahala yang berterusan selama mana kitab tersebut dibaca dan dipelajari oleh orang lain. 

Ketiga anak yang soleh yang mendoakan kepada kedua ibu bapanya. Melahirkan anak yang soleh yang bertaqwa dan berwibawa adalah impian setiap ibu bapa, namun di mana datangnya buah kelapa kalau yang ditanam itu adalah benih pinang. Insan yang soleh tidak dapat dilahirkan dengan didikan yang ‘’tholeh’’ (buruk) yang jauh dari nilai-nilai agama atau diasuh oleh suatu lingkungan yang tidak sihat. Insan soleh adalah buah dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ia merupakan hasil daripada kegigihan ibu bapa, guru dan lingkungan yang sihat dan suasana yang membina yang dapat menghantar anak tersebut ke pintu gerbang ketaatan. Cuba kita fikirkan sebentar, adakah salah satu dari tiga perkara dia atas yang telah kita lakukan. Kalau belum, maka berusahalah dan kalau boleh himpunkan ketiga-tiga perkara ini sekaligus.

Selanjutnya...

Siapa Orang Yang Bijak

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus Radhiallahu anhu daripada Rasulullah SAW sabdanya: ‘’Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal unutk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan daripada-Nya tanpa beramal soleh)’’. Hadith Riwayat Tirmizi

Terdapat banyak perbezaan dalam membuat penilaian siapakah sebenarnya orang yang cerdik atau siapakah sebenarnya orang yang bahagia. Di mana perbezaan nilai ini adalah timbul daripada perbezaan garis panduan penilaian tersebut. Bagi seseorang yang berfaham kebendaan, orang yang cerdik  pada penilaiannya ialah seseorang yang banyak memiliki harta benda yang banyak dan wang ringgit, kemudian berpeluang untuk menikmati segala kelazatan dunia dan bebas untuk bersuka-suka di kelab malam atau menyaksikan pertandingan-pertandingan sukan dan sebagainya dengan tidak mengira atau memperhitungkan bagaimanakah ia akan mengakhiri kehidupan di dunia ini dan dia tidak berfikir apakah yang akan ditemuinya di dalam kubur nanti dan tidak membuat rancangan bagaimanakah ia akan berhadapan dengan Allah SWT pada hari qiamat nanti.

Tetapi bagi seseorang yang beriman ia mempunyai penilaian yang tersendiri yang berdiri di atas dasar keimanannya, di mana setelah ia beriman dengan Allah SWT dan Rasul-Nya dan juga setelah ia beriman dengan hari pembalasan yang akan dihadapinya, lalu ia menganggap kehidupan di dunia ini sebagai jambatan yang akan menyampaikannya ke negeri akhirat bukan tempat bersuka-suka atau tempat bermain sesuka hati. Dari kerana itu ia banyak membuat persiapan untuk masa akhiratnya, dari masa ke semasa selalu membuat penelitian kepada bekal yang akan dibawanya. Dia menganggap dunia ini adalah laksana bendang tempat ia bertanam dan akhiratnya tempat ia akan memetiknya buahnya. Oleh kerana dia hidup di dalam dunia ini, maka terpaksa juga ia berusaha untuk mencari sara hidupnya  dan saraan orang-orang yang ada dibawah tanggungannya, dia berusaha untuk mendapatkan makanan dan minuman dan berusaha pula untuk memperolehi rumah seadanya yang dijadikan tempat berehat, tetapi baginya makan dan minum adalah untuk hidup, bukan hidup untuk makan dan minum. Mencari dunia untuk akhirat bukan mencari dunia lupakan akhirat.

Sebaliknya, orang yang lemah ialah orang yang tidak mengambil berat maslah akhiratnya, lalai daripada mengingati mati, merancang untuk hidup seratus tahun atau lebih lama lagi, banyak bersuka-suka dan banyak membuang masa untuk bermain atau menyaksikan permainan. Apabila ia memperbuat sesuatu pekerjaan ia akan melupakan hukum-hukum Allah SWT, ia tidak mempedulikan urusan sembahyang, dan tidak mengambil dengan ibadat-ibadat yang lain, dan hanya banyak banyak berangan-angan untuk mendapatkan pengampunan dan anugerah dari Allah SWT sedangkan ia tidak mahu beramal soleh dan tidak merancang dengan baik untuk masa akhiratnya.

Selanjutnya...

Sabtu, 21 Januari 2012

Nabi SAW Bimbang Dengan Kekayaan Umatnya

Daripada Amr bin ‘Auf Al-Anshari Radhiallahu anhu bahawasanya Nabi SAW menghantar Abu Ubaidah bin Al-Jarrah Radhiallahu anhu ke negeri Bahrain untuk mengutip uftinya (pajaknya). Kemudian (pada suatu malam) datanglah ia membawa harta itu dari Bahrain. Kaum Anshar mendengar akan kedatangan Abu Ubaidah tadi, lalu ramai di kalangan mereka yang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Selesai sembahyang, beliau terus pulang ke rumah , maka ramai orang pergi menuju ke rumah beliau untuk menemuinya. Rasulullah SAW lalu keluar dari rumahnya sambil tersenyum melihat tindakan sahabat-sahabatnya seraya bersabda: ‘’Barangkali kamu semua mendengar dengan kedatangan Abu Ubaidah (malam tadi) membawa sesuatu dari Bahrain?’’ Mereka menjawab: ‘’Benar Ya Rasulallah’’. Beliau selanjutnya bersabda: ‘’Ya!, bergembiralah kamu semua dan bolehlah kamu mengharapkan sesuatu yang akan menyeronokkan kamu. Demi Allah, Aku tidak bimbang kalau kamu berhadapan dengan kefaqiran, tetapi yang sangat aku bimbangkan apabila kamu berhadapan dengan kekayaan, apabila dunia telah diluaskan bagi kamu sekalian seperti mana pernah diluaskan kepada umat-umat sebelum kamu. Kemudian kamu akan berebut-rebutan seperti mereka dahulu juga berebut-rebutan , maka akibatnya dunia dunia itu akan membinasakan kamu seperti ia telah membinasakan mereka dahulu’’. Hadith Riwayat Bukhari & Muslim

Nabi kita SAW tidak bimbang kalau umatnya berhadapan dengan kefaqiran tetapi yang sangat membimbangkan beliau kalau umatnya berhadapan dengan kekayaan. Di dalam keadaan faqir dan kekurangan banyak orang yang dapat membuat amal ibadat kerana tidak banyak perkara yang menyibukkan dan fikiran pun tidak banyak bercabang-cabang, tetapi di waktu kaya, sangat sedikit orang yang sempat berbuat amal ibadat kerana mereka terlalu sibuk dengan bermacam-macam urusan. Ya, memang kalau semua sudah ada, wang ada, kereta ada, kemudahan lain pun semua sudah cukup, maka ketika itulah timbul budaya yang disebutkan dalam pepatah kita '’ tepuk dada tanya selera’’. Terserahlah hendak pergi ke mana dan hendak buat apa. Maka kalau begitu layanan yang diberikan kepada nafsu tentulah mudah bagi syaitan untuk mendorongya untuk membuat perkara-perkara maksiat dan akan mudahlah bagi syaitan untuk menjerumuskannya ke lumpur kemaksiatan dan kedurjanaan. Orang yang bijak ialah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya. Harta kekayaan yang berlebihan bolehlah digunakan untuk membantu orang lain sebagai amal jariyah yang akan disuratkan dalam catitan kebaikannya pada hari qiamat nanti.

Selanjutnya...

Rahmat Yang Luas dan Pengampunan Yang Berkekalan

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu daripada Rasulullah SAW pada satu riwayat yang baginda meriwayatkan daripada Allah SWT. (Ertinya dalam Hadith Qudsi) sabdanya: ‘’Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa lalu ia berdoa: ‘’Ya Allah, ampunilah dosaku’’ maka Allah SWT berfirman baginya: ‘’Hambaku melakukan sesuatu yang berdosa lalu ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosanya atau boleh juga menjatuhan hukuman dengan sebab adanya dosa itu’’. Kemudia apabila itu kembali berbuat dosa lalu ia berdoa pula: ‘’Ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku’’, maka Allah SWT berfirman: ‘’Hambaku telah berbuat dosa dan ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni segala dosa atau boleh pula menyeksa dengan sebab dosa itu’’. Kemudian hamba itu sekali berbuat dosa maka ia lalu berkata: ‘’Ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku’’, maka Allah SWT lalu berfirman kepadanya: ‘’Hambaku berbuat dosa dan ia menyedari baginya ada Tuhan yang mengampuni segala dosa dan boleh menyeksa dengan sebab dosa itu. Sesungguhnya Aku mengampuni segala dosa hambaku, maka hendaklah ia berbuat sesuka hatinya’’. Hadith Riwayat Bukhari & Muslim

Hadith di atas menerangkan kepada kita betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada hamba-hambanya. Allah SWT akan mengampuni segala dosa mereka asalkan mereka bersedia bertaubat kepadanya.

Memang sudah menjadi suatu kepastian, kita sebagai manusia yang lemah ini adalah sangat terdedah untuk berbuat dosa, sama ada dosa itu yang disedari atau tidak dan sama ada dosa itu besar atau kecil. Oleh itu, wajarlah bagi kita untuk selalu beristighfar kepada Allah SWT dan meminta keampunan daripadanya. Kalau Rasulullah SAW yang tidak berdosa itu telah pun beristighfar kepada Allah SWT dalam sehari semalam paling kurang 70 kali, maka kita sebagai orang awam dari kalangan umatnya ini tentu lebih perlu kepada membanyakkan istighfar dan merayu kepada Allah SWT supaya diampunkannya segala dosa-dosa kita. 

Selanjutnya...

Sabtu, 24 Disember 2011

Kerana Mulut Badan Binasa

Daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu anhu (dalam sebuah hadith yang panjang) ...Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: ''Sukakah engkau hai Muaz! aku khabarkan tentang asas perkara ini (asas agama Islam) dan tiang-tiangnya serta puncaknya? Lalu Muaz menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Beliau SAW kemudian bersabda: ''Asas perkara ini adalah Islam, dan tiang-tiangnya adalah sembahyang dan puncaknya adalah jihad''. Kemudian Baginda SAW bersabda pula: ''Sukakah aku khabarkan kepada engkau punca bagi yang demikian itu semuanya?''. Aku menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Lalu Beliau SAW memegang lidahnya sambil bersabda: ''Peliharalah ini baik-baik''. Aku bertanya: ''Ya Rasulallah! Apakah kami akan diseksa dari sebab lidah kami?'' Lalu Nabi SAW menjawab: ''Ibu engkau kehilangan engkau, bukankah ramai nantinya orang yang akan disungkurkan (dicampakkan) ke dalam neraka adalah berpunca dari mulut mereka sendiri''. Hadith Riwayat Tirmizi


Lidah merupakan anugerah Allah SWT yang besar kepada manusia. Ia walaupun kecil tetapi peranannya sangat besar sekali. Lidahlah yang menentukan zahir keimanan seseorang ataupun kekufurannya dan lidah memiliki sasaran dan peranan yang tidak terbatas banyaknya. Dalam menjalankan tugasnya lidah tidak banyak berhajat kepada usaha dan keletihan. Yang diperlukan hanyalah pergerakan bibir dan tekanan suara sahaja, berlainan dengan anggota lain seperti kaki dan tangan yang banyak berhajat kepada tenaga untuk menggunakannya, dan berlainan pula dengan mata yang hanya terhad kegunaannya untuk melihat dan telinga hanya terhad untuk mendegar sahaja. Oleh itu lidah terlalu susah untuk dikawal atau dihadkan penggunaannya kerana ia mempunyai ruang yang sangat luas sekali sama-ada untuk memperkatakan perkara yang sangat baik ataupun perkara yang buruk dan lidah tidak akan dapat dikawal kecuali hanya dengan kekuatan iman yang ada di dalam dada. Maka kalau seseorang membiarkan lidahnya bercakap bebas, syaitan pasti akan menggunakannya untuk bercakap dengan maksiat dan kekufuran. Orang Islam masih belum menjadi kafir kalau hanya memakan harta riba, ia hanya telah melakukan dosa yang besar, tetapi ia telah menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam apabila ia mengatakan bahawasanya harta riba itu adalah halal, walaupun ia sendiri tidak terlibat dalam memakan harta riba tersebut. Itu semuanya adalah padah yang diakibatkan oleh lidah yang tidak bertulang. Lidah juga cukup mudah untuk menaburkan fitnah, mengumpat, berbohong, mengejek orang, bertengkar dan sebagainya. Dan yang lebih mudah lagi adalah bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah. Oleh kerana itu lidah perlu dikekang dan jangan dibiarkan bercakap mengikut kemahuannya. Buatlah pertimbangan terlebih dahulu terhadap perkataan yang hendak diucapkan. Fikirlah terlebih dahulu apa-apa yang mahu dituturkan. Namun pada kenyataannya ramai orang yang tidak dapat mengawal lidahnya, maka oleh kerana itu akan ramai pula orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka akibat perbuatan lidah yang tidak bertulang ini.

Selanjutnya...

Sabtu, 20 Ogos 2011

Bengkak Kaki Kerana Banyak Sembahyang Malam

Daripada Aishah Radhillahu anha berkata : ''Bahawasanya Rasulullah SAW selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua belah kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya : ''Kenapa kau beribadat sampai jadi begini ya Rasulallah?, sedangkan Allah SWT telah mengampuni dosa-dosa mu yang terdahulu dan dosa-dosa mu yang terkemudian (seandainya beliau berdosa, padahal sebenarnya beliau ma'sum dari berbuat dosa). Lalu Nabi SAW menjawab : ''Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur''. (Hadith Riwayat Bukhari)

Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang yang ma'sum dari mengerjakan dosa. Kalau seandainya beliau berdosa, maka Allah SWT telah bersedia untuk mengampuni dosa beliau yang terdahulu dan terkemudian. Walaupun demikian, beliau masih banyak beristighfar (meminta ampun) kepada Allah SWT dalam sehari semalam tidak kurang daripada tujuh puluh kali beristighfar, dan beliau selalu bangkit bersembahyang pada waktu malam dan banyak menghabiskan masanya untuk bermunajat di hadapan Allah SWT sehingga bengkak kedua kaki beliau.

Ini adalah satu teladan kepada ummatnya. Kita yang terlalu banyak berdosa ini, mestinya lebih banyak beristighfar kepada Allah SWT dan lebih banyak lagi berbuat ibadat di waktu malam, tetapi oleh kerana kelemahan iman yang ada di dalam dada, kita rasa malas untuk beristighfar dan rasa terlalu berat untuk bangkit dari tempat tidur untuk beribadat. Maka kalau kita cuba meraba dada kita dan bertanya kepada diri kita sendiri, dapatlah kita mengukur sejauh mana kekuatan iman yang ada di dalam hati, maka beruntunglah orang yang menyedari dirinya sebelum ia diragut oleh kematian dan berjayalah orang yang bersegera berbuat ibadat sebelum ia terlambat.

Selanjutnya...

Sabtu, 13 Ogos 2011

Beramallah Sebelum Terlambat

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ''Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui tujuh perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya (1) kefaqiran yang melalaikan (2) atau kekayaan yang menyebabkan kezaliman (3) atau sakit yang merosakkan badan (4) atau usia tua yang mentelorkan (menggagapkan) percakapan (5) atau kematian yang melenyapkan segala sesuatu (6) atau tibanya Dajjal, maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang dinantikan (7) atau tibanya hari qiamat, maka hari qiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi''. (Hadith Riwayat Tirmizi)

Hadith ini menggalakkan kita supaya bersegera untuk membuat amal ibadat sebelum terlambat dan sebelum datangnya bermacam-macam kesibukan yang dapat menghalang kita daripada melaksanakan amal ibadat seperti yang disebutkan dalam hadith di atas.

Selanjutnya...